My Calendar

Sunday, 27 February 2011

Kajian Perpustakaan

Jadual kerja menjadi semakin padat dan banyak juga kerja-kerja sedikit kucar kacir. Risau sejujurnya mengenangkan pengurusan masa yang masih berada pada kategori lemah. Walaupun sudah memulakan tugas sejak November 2010 dan pengajaran yang bermula pada Januari 2011, nyata saya masih belum begitu mahir dengan suasana. Saya sentiasa memohon kepadaNya agar diberikan kekuatan dan dalam lindunganNya dalam segenap perkara.

Saya diminta menyampaikan kuliah bagi pelajar pasca siswazah khusus bagi tajuk kajian perpustakaan (literature review). Saya sedaya upaya menyediakan bahan yang mudah difahami dan lebih bersifat praktikal.

Pengalaman peribadi saya sendiri menghadiri kursus kaedah penyelidikan wajib sebelum melanjutkan pengajian tempohari terlalu bersifat umum. Lantas, saya kira perkongsian yang besifat praktikal adalah lebih diperlukan. Saya lebih mengharapkan kepada konsep know-how kepada pelajar-pelajar yang hadir dalam kuliah saya.


Antara garapan lima langkah utama ialah, bagaimana mencerakinkan tajuk kepada kata-kunci berkaitan, mencari bahan-bahan rujukan, kepentingan melakukan analisa dokumen, peri pentingnya menulis dengan berkesan bersama laras penulisan teknikal yang cermat. Itu antara intipati bahan yang saya sampaikan. Tidak ketinggalan, saya turut berkongsi bagaimana seharusnya kita membaca dan melakukan diagnosis terhadap artikel kita. Saya amat berharap, perkongsian yang telah saya sampaikan dapat memberi manfaat kepada mereka semua yang sedang menjalankan penyelidikan sarjana dan kedoktoran, insya Allah.

Morning Coffee

Dalam jadual kerja, setiap Khamis (8 pagi hingga 1 tengahari) dikhususkan untuk proses penyeliaan (supervision). Saya cuba membawa kelainan dalam kumpulan penyelidikan saya dengan memperkenalkan konsep morning coffee dan tidak hanya melakukan perbincangan dalam bilik saya sahaja.

Tempohari misalnya, usai sesi perbincangan awal bersama semua ahli, dan juga penerangan ringkas berkaitan proses kerja yang mereka perlu sudahkan dalam tempoh dua minggu, iaitu menyudahkan kajian perpustakaan (literature review) masing-masing, kami meneruskan perbincangan di wakaf Dataran Kenanga. Menyeronokkan! Udara yang segar dan merupakan satu pengalaman yang sangat menarik bagi saya.

Tujuan asal saya membawa idea sebegini adalah untuk membudayakan penyelidikan dan menjadikan sesi diskusi berkaitan hal ehwal penyelidikan yang lazimnya bersifat serius dan sedikit tertekan kepada satu sesi yang lebih menyeronokkan. Saya harap, pelajar-pelajar di bawah seliaan saya dapat merasakan atmosfera penyelidikan yang lebih baik.


Inilah wajah ruang penyelidikan yang baru sahaja disusun semula. Dengan ruang penyelidikan yang telah diluluskan oleh Tuan KJ dan Puan Ketua Makmal, saya sangat-sangat bersyukur. Moga ruang ini dapat menyemarakkan budaya penyelidikan dan penerbitan. Biarpun ruang ini kecil, tetapi itu bukan kayu ukurnya. Yang lebih saya perlu beri perhatian ialah impak dan kualiti penyelidikannya.

Thursday, 10 February 2011

Kaedah Penyelidikan

Menjalankan penyelidikan, tanpa mengira skalanya juga memerlukan kaedah yang bersesuaian dan tepat. Usaha JK PSM FKEE memperkenalkan Kursus Kaedah Penyelidikan (Research Methodology) kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang mula menjalankan Projek Tahun Akhir adalah satu usaha murni ke arah memperkasa kualiti projek yang dihasilkan pelajar.

Saya diamanahkan untuk memberikan perkongsian dan ini bukan satu tugas yang mudah. Saya diberikan kurang lebih tiga (3) jam untuk menyampaikan apa yang dirasakan berkaitan dan boleh membantu pelajar. Setelah diperhalusi, saya memikirkan terdapat tiga (3) modul yang perlu bagi mereka yang ingin mula menjalankan penyelidikan. Antara modul yang diketengahkan ialah "Trick or Threat" untuk modul 1, "Languages doesn't matter" bagi modul 2 dan disudahi dengan "For only 15 minutes!" dalam modul 3.

Intipati dalam modul 1 adalah berkaitan pengurusan penyelidikan, perkara yang sering dipandang mudah boleh menjadi satu strategi dan boleh juga menjadi ancaman jika tidak diperhalusi dengan baik. Saya turut menekankan bagaimana hubungan baik yang perlu dibina antara penyelia dan pelajar. Selain itu, kaedah pencarian bahan menggunakan enjin pencari, kepentingan membuat "back-up" juga ditekankan serta alat-alat bantu yang perlu diketahui oleh pelajar.

Modul 2 pula menekankan berkaitan aspek penulisan, dan bersesuaian dengan pelajar PSM 1 mereka didedahkan bagaimana menulis proposal penyelidikan dan kertas seminar dengan baik. Penekanan diberikan misalnya, bagaimana ciri-ciri tajuk yang baik, penulisan objektif yang betul, penggunaan "measurable verb action" yang tepat, bagaimana olahan kaedah penyelidikan perlu dikemukakan dan hinggalah penulisan senarai rujukan.


Akhirnya, sesi disudahkan dengan kaedah berkesan menyediakan slaid pembentangan hasil kertas seminar yang dibuat. Aspek penyediaan slaid dan kaedah penyampaian yang berkesan adalah nadi kepada penyampaian pembentangan yang hebat dalam tempoh yang singkat.


Dengan jumlah peserta seramai 201 orang, ini bukan satu tugas mudah bagi saya. Masih terdapat banyak ruang yang saya perlu perbaiki. Ada masanya, saya lihat pelajar agak tepu dan mungkin saya terlalu serius dan kurang unsur lelucon untuk menarik minat pelajar. Saya perlu lebih variasi dalam penyampaian! Walau apapun, saya harapkan perkongsian ini dapat membuka lembaran baru sebagai usaha membantu pelajar.

Wednesday, 9 February 2011

Upah

Kerja yang kita jalankan dibayar gajinya. Gaji adalah upah atau balasan yang kita dapat atas usaha usaha yang dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan seiring dengan kualiti yang tinggi. Lantas, upah ini memerlukan elemen berkat yang sangat tinggi - melalui upah ini kita buat membeli pakaian menutup badan, mengisi tembolok apabila kelaparan, berkongsi nikmat bersama yang memerlukan. Sifirnya mudah, adakah kerja sekadar kerja atau kerja sebagai ibadah?

Tuesday, 8 February 2011

Cermin Diri

Kita tidak pernah surut daripada melakukan kesilapan. Alangkah bertuahnya kita andai ada insan di sekeliling kita yang sudi menjadi "cermin diri" yang dapat memberikan teguran, panduan dan bimbingan. Apabila ditegur, belajarlah membuka hati dan pemikiran seluas-luasnya, dalami teguran itu dan cari jalan untuk memperbaikinya. Ingat, "cermin diri" tidak akan datang bertubi-tubi!

Monday, 7 February 2011

Malam

"Sifir kehidupan tidaklah begitu sukar untuk difahami. Malam mudahnya difahami sebagai masa untuk kita merehatkan diri setelah penat bekerja. Namun, malam juga ada disebut akan keperluannya untuk dipenuhi dalam ertikata yang lebih halus bunyinya. Bangunlah, dan mohon kepadaNya yang memiliki segalanya. Moga hidup kita lebih manis dan dosa-dosa kita diampunkanNya."

Warna kehidupan

Lama juga rasanya tiada catatan yang berjaya dicoretkan di sini. Nyata, pengurusan masa saya masih pada tahap yang sangat mendukacitakan. Saya perlu berbuat sesuatu dengan segera. Saya memohon kepadaNya agar segala urusan, amanah dan nikmat-nikmat yang diberikanNya dapat saya uruskan dengan sebaik mungkin.

Jika dihitung dengan lebih terperinci, setiap detik dan nafas yang kita hirup penuh dengan warna-warna yang pelbagai. Ada masanya, kita rasa warna merah itu kesukaan kita tetapi yang biru itu menjadi pilihan kita. Dalam konteks hubungan kita dengan pencipta - nyata kita insan yang sangat lemah dan kerdil.


Berbicara soal nikmat olehNya, saya jadi sangat malu. Terlalu banyak dan tidak dapat saya senaraikan nikmat-nikmat yang diberikan. Pernah juga saya terbaca, ujian nikmat ini sangat sukar diperhalusi dan seringkali membuatkan kita leka dan selesa. Ini yang sangat-sangat saya risaukan. Masa semakin berlalu, umur semakin meningkat, kehidupan abadi semakin dekat, tetapi apa persediaan yang saya buat? Jika esok saya akan pergi, apa yang akan saya bawa menjadi peneman diri?