My Calendar

Thursday, 25 November 2010

Perjalanan Baru

Saya sifatkan perkara ini sebagai sebahagian permulaan satu perjalanan yang baru bagi saya. Kembali melapor diri setelah selesai urusan cuti belajar bukanlah semudah yang umum jangkakan. Pelbagai persoalan asas sentiasa berlegar-legar dalam kotak fikiran saya. Terutama sekali, berhubung aspek "selesaikah pengajian" yang merupakan amanah yang perlu kita pikul usai kita bersetuju untuk menyambung pengajian dan diberikan kemudahan "Cuti belajar bergaji penuh".


Menyingkap kembali tarikh 24 November 2007 (rujuk entri pertama) ketika saya antara sedar dengan tidak melangkah kaki turun di KLIA dan memberikan lambaian terakhir kepada keluarga dan rakan-rakan yang hadir menghantar saya pada masa itu. Memang benar, belajar di luar negara adalah antara impian saya sejak tamatnya SPM dahulu akhirnya berjaya ditunaikan. Tetapi, persoalan mampukah saya tangani asam garam dunia pengajian PhD tidak pernah surut bermain dalam fikiran.

Ketika melangkah turun dan melalui pemeriksaan keselamatan, saya masih di awangan mengenangkan perjuangan yang bakal saya tempuhi, ditambah lagi dengan kebimbangan memandangkan tiada sesiapa yang bakal menyambut saya kelak apabila tiba di Heathrow. Itu antara catatan awal pengalaman saya berkelana di rantau orang.

Masa berlalu terlalu pantas. 36 bulan bukanlah satu tempoh yang panjang. Bagi yang bakal memulakan pengajian PhD, saya ucapkan selamat maju jaya dan sentiasalah memanjatkan doa supaya Allah memberikan kita kekuatan dan pada masa yang sama kita juga perlu mencari kekuatan dalaman agar segala cabaran yang mendatang dapat kita tangani dan sama-sama sampai ke garisan penamat.

Berbalik kepada cerita asal, memulakan "tugasan baru" sejujurnya saya agak gugup dan ada masanya kecut perut juga dengan soalan, harapan dan juga tanggapan. Namun, "tanggapan" saya tidak harus ambil kira kerana saya tidak dapat mengawal anggapan orang lain.

Menariknya, satu soalan tipikal yang ditanya ialah "kereta apa yang saya bawa balik" dan "berapa banyak barang yang dihantar dari sana". Saya ada masanya tersenyum memikirkan jawapan terbaik. Ada juga yang menganggap saya pulang bercuti! Apabila saya katakan sudah selesai, ada di kalangan mereka yang kurang percaya. Entah, saya kurang pasti kenapa dan mengapa!

Apapun, banyak yang saya pelajari dalam tempoh dua minggu di sini. Benar, bukanlah saya berkelana di sana 30 tahun, tetapi bagi saya tempoh hampir tiga tahun sudah cukup "mencabar" bagi saya untuk memulakan "perjalanan baru" ini. Saya memohon doa kepadaNya, berikan saya kekuatan untuk menghadapi tugasan ini dan sentiasa memberikan bimbinganNya.

Tuesday, 16 November 2010

Korban

Buat kesekian kalinya, kali ini saya dapat menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga, dan juga buat pertama kalinya dalam keadaan yang lebih lengkap (bersama isteri dan keluarga). Saya masih ingat, tahun lalu Aidil Adha saya sambut di Beijing, ketika membentangkan kertas kerja dalam BIOCAS 2009.


Nyata, kitaran masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita. Setiap kali tibanya Hari Raya Aidil Adha, sejujurnya saya masih tergapai-gapai mencari erti sebenar pengorbanan dalam diri saya sendiri. Selari dengan ini juga, saya merasa sangat kerdil dan merasakan tiada apa sumbangan bermakna yang saya berikan, kepada segenap pihak, misalnya keluarga, agama dan negara. Bukanlah saya berniat untuk menjadi wira yang boleh memberi dan berkorban sehebatnya, tetapi jauh di sudut hati kecil saya, saya ingin sekali insan-insan di sekeliling saya gembira dengan kerdilnya kemampuan pengorbanan (jika ada) yang saya berikan.

Saya pasti, erti pengorbanan juga adalah subjektif berdasarkan pengalaman dan sekolah pemikiran yang dilalui oleh setiap individu. Saya berdoa kepadaNya, agar saya sentiasa diberikan panduan, bimbingan, bantuan dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari depan, insya Allah.

Friday, 5 November 2010

Ramuan dan Resipi

Makanan yang menyelerakan lazimnya agak subjektif penilaiannya. Namun, secara umumnya makanan yang enak dan menyelerakan mempunyai piawaian yang boleh diterima secara umum. Analoginya mudah, dalam menikmati hidangan makan tengahari misalnya, tidak cukup andai sambal ikannya sahaja yang enak, tetapi sotong bakarnya terlebih masin, manakala cendawan masak supnya mungkin terlebih layu!

Hal ini juga hampir sama dalam aspek pengajian, khususnya PhD yang memerlukan kita bekerja secara konsisten di bawah penyeliaan ahli akademik. Saya pernah ditanya usai viva, ketika mendapatkan tanda tangan Deputy Head of School (Research), Prof. Luiz bagi tujuan melabelkan tesis saya dalam kategori SULIT. Beliau menyatakan yang saya sangat bertuah kerana berjaya menamatkan pengajian agak awal dari tempohnya. Saya menjawab, peranan penyelia saya sangat-sangat membantu, dan saya sangat bertuah memiliki penyelia yang hebat!

Beliau menambah, sebenarnya peranan penyelia sahaja tidak cukup, tetapi PhD yang bagus juga memerlukan pelajar yang bagus! Saya hanya tersenyum dan tidak mampu memberikan komen lanjut. Ini yang saya kaitkan sebagai ramuan dan resipi. Kejayaan PhD bukan sahaja terletak kepada peranan pelajar, malah bagaimana penyelia memainkan tugas dan tanggungjawabnya!

Saya perhalusi aspek pelajar dan penyelia dalam PhD. Mengapa saya sangat berminat dalam hal ini? Kerana saya pernah melalui pengalaman mempunyai dua penyelia utama (pada tahun pertama, manakala tahun kedua dan seterusnya bersama seorang lagi penyelia) dan seorang penyelia tambahan melalui kerjasama penyelidikan.

Sistem di Brunel, misalnya menetapkan dua penyelia dilantik. Peranan penyelia utama dan kedua lazimnya bergantung kepada jenis penyelidikan dan komitmen penyelia. Ada juga berlaku, penyelia kedua lebih berperanan berbanding penyelia utama, dan dalam kes saya misalnya, penyelia kedua hanya pada nama.

Saya membandingkan kaedah penyeliaan penyelia-penyelia saya secara adil. Penyelia awal saya saya jauh bersifat lebih "mesra pelajar" dan menggunakan teknologi komunikasi terkini dalam penyeliaannya. Sebagai contoh, kami berdiskusi melalui "messenger" dan boleh disifatkan tidak mengira batas masa. Ada tikanya hingga jam 2 - 3 pagi!

Dalam aspek komunikasi, penyelia terkini saya lebih bersifat konvensional. Beliau tidak pernah menghubungi melalui telefon bimbit (baginya adalah hak peribadi) dan hanya menggunakan emel sepenuhnya. Menariknya, beliau juga mengizinkan malah memberikan komitmen menjawab emel walaupun pada hujung minggu.

Memberikan komen kepada hasil kerja kita saya kira juga antara aspek penting. Saya agak kurang serasi dengan penyelia asal dalam aspek ini. Saya pernah menghantar dokumen (dua minggu awal dari tarikh kami bermesyuarat) untuk pembelian satu alat (kategori segera) tetapi beliau hanya mencetak dokumen tersebut pada ketika saya berada di depannya untuk mesyuarat!

Berbeza dengan penyelia terkini yang lebih komited dan profesional menunaikan tugasnya sebagai penyelia. Benar, ada yang menganggap penyelia kita sibuk dan sebagai pelajar PhD kita perlu sangat-sangat berdikari. Tetapi awas, ada juga aspek-aspek dalam membuat keputusan pembelian peralatan misalnya yang memerlukan pandangan penyelia.

Ringkasnya, saya melihat aspek kesepadanan sikap dan sifat adalah sangat penting dalam mewujudkan keserasian, situasi menang-menang, hormat menghormati dan kedua-dua pihak menikmati (enjoy) proses PhD. Apabila salah satu pihak (lebih parah juga jika penyelia) mula berasa tidak selesa dan "terbeban" dengan menyelia kita, segeralah membuat koreksi diri! Jangan dibiarkan ini menjadi barah dan memungkinkan kita bertemu jalan sukar dalam pengajian PhD!