My Calendar

Sunday 6 September 2009

Guru dan Pensyarah?

Tidak kisahlah, guru mahupun pensyarah. Peranan dan sumbangan dua insan ini sangat signifikan. Aku menulis bukan kerana aku terlibat dalam dunia akademik. Tetapi tulisan kali ini menjurus kepada permasalahan akan kefahaman kita dalam menjalankan tugas dan peranan kita. Dua hari yang lepas, aku kebetulan bertemu dengan rakan-rakan kumpulan penyelidikan lama dan ternyata memeranjatkan, mereka baru sahaja menukar tajuk dan penyelia selepas 18 bulan pengajian! Aku tumpang simpati dengan apa yang telah dan sedang mereka lalui. Apa yang telah dan sedang berlaku itu, tidak perlu untuk diceritakan dengan panjang lebar di sini. Cukuplah, kalau aku katakan bahawa dalam perjalanan hidup kita ini, banyak sungguh ketidakpastian yang hadir. Ini adalah lambang akan betapa lemahnya kita sebagai hamba kepada Nya.
Foto ihsan: SuhailiAhmad
Namun, aku ingin sekali menulis beberapa pandangan berhubung pengalaman yang pernah dilalui sebagai pensyarah. Moga-moga boleh membawa manfaat kepada sesiapa yang memilih bidang ini sebagai laluan kerjaya. (Khas juga untuk bakal pengarah Kolej Komuniti Masjid Tanah :)).

Foto ihsan: SuhailiAhmad
Aku mula bertugas sebagai pensyarah pada 2003, usai pengajian sarjana di UKM dan pada ketika itu umur baru sahaja 24 tahun. Dengan ilmu yang cetek dan pengalaman mengajar yang hampir sifar, kelas pertama pada masa itu 157 pelajar BKE 2273 (Teori Litar Elektrik), BKE 5012 (Kejuruteraan Berbantu Komputer) dan BKE 4043 (Mikroelektronik). Untuk subjek BKE 5012 dan BKE 4043 tidak lah memberikan masalah yang besar dengan bilangan pelajar hanya 8 orang dan subjek itu juga dipelajari di peringkat sarjana. Tetapi, mengajar di DK 2 bagi kumpulan 157 pelajar (mereka juga pelajar mengulang subjek) adalah cabaran yang sangat besar dan bermakna.


Foto ihsan: SuhailiAhmad
Beberapa perkongsian yang boleh diamalkan sebagai seorang pensyarah:
  1. Kenali pelajar anda sebaik mungkin. Sediakan borang maklumat diri pelajar yang lengkap dengan maklumat diri dan keluarga. Ini sangat penting! Dengan mengenali latar belakang pelajar termasuk keluarga kita akan lebih faham siapa diri pelajar kita.
  2. Jelaskan 'ground rules' dalam kuliah kita. Senarai dan terangkan 'The Do's' dan 'The Don't' supaya kedua-dua pihak gembira menjalankan fungsi masing-masing.
  3. Ingat semua nama pelajar anda! Hampir mustahil tetapi boleh dilaksanakan. Pelajar akan rasa dihargai apabila kita berupaya ingat akan nama mereka. Satu teknik untuk memastikan pelajar 'engage' dalam kuliah kita ialah, selang selikan dengan soalan dalam kuliah. Dengan kita kenal dan ingat nama pelajar kita, bila-bila masa kita boleh memanggil nama mereka untuk menjawab soalan. Setidak-tidaknya, pelajar kita juga akan sentiasa bersedia dan fokus dengan kuliah kita.
  4. Jangan menipu! Tak semua benda dalam ruang lingkup keilmuan kita. Andai ada soalan yang tidak dapat dijawab dengan baik, akui dengan jujur dan minta sedikit masa dari pelajar untuk semakan dibuat dan akan dibincangkan dalam kuliah berikutnya.
  5. Tiada soalan bodoh! Jangan bantutkan minat pelajar dengan mengatakan "ini soalan bodoh!". Setiap soalan adalah kunci ilmu. Bukalah ruang seluasnya untuk pelajar bertanya. Dengan itu, ilmu dan keyakinan kita dan juga pelajar juga akan meningkat.
  6. Kualiti kerja! Jika itu yang ingin kita terapkan kepada pelajar, itu juga yang mereka mahu lihat dari kita. Berkualitikah kerja kita andai nota kuliah kita pun tidak pernah dikemas kini? Menepati masakah kita kalau kertas ujian dan laporan tidak kita semak dan berikan komen yang diperlukan?

Cukup dahulu, perkongsian ini. Aku pernah juga menulis, "Mengajarlah bukan kerana kita seorang pensyarah". Apa yang jelas, tugas ini sangat memerlukan ketelitian dan perhatian yang serius. Apa yang bakal kita berikan kepada sang pelajar akan dipersoalkan kelak. Semoga kita semua dapat menjalankan tugas dengan cemerlang!

Nota: Di manakah guru-guru dan rakan-rakan lama dalam gambar-gambar di atas? Aku doakan kalian semua dalam lindungan Allah dan terima kasih atas segala ilmu yang telah dicurahkan.


2 comments:

Mohsen Amdan said...

Pengurus - Menguruskan sesuatu
Pembuat Roti - Membuat Roti
Pencuri - mencuri
Pengarah - Memberi arahan
Pensyarah?

Aliyas @ Ashaari B Hasan Habidin said...

beruntung sapa dapat jadi anak murid kamu........allah maha besar