My Calendar

Thursday 10 February 2011

Kaedah Penyelidikan

Menjalankan penyelidikan, tanpa mengira skalanya juga memerlukan kaedah yang bersesuaian dan tepat. Usaha JK PSM FKEE memperkenalkan Kursus Kaedah Penyelidikan (Research Methodology) kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang mula menjalankan Projek Tahun Akhir adalah satu usaha murni ke arah memperkasa kualiti projek yang dihasilkan pelajar.

Saya diamanahkan untuk memberikan perkongsian dan ini bukan satu tugas yang mudah. Saya diberikan kurang lebih tiga (3) jam untuk menyampaikan apa yang dirasakan berkaitan dan boleh membantu pelajar. Setelah diperhalusi, saya memikirkan terdapat tiga (3) modul yang perlu bagi mereka yang ingin mula menjalankan penyelidikan. Antara modul yang diketengahkan ialah "Trick or Threat" untuk modul 1, "Languages doesn't matter" bagi modul 2 dan disudahi dengan "For only 15 minutes!" dalam modul 3.

Intipati dalam modul 1 adalah berkaitan pengurusan penyelidikan, perkara yang sering dipandang mudah boleh menjadi satu strategi dan boleh juga menjadi ancaman jika tidak diperhalusi dengan baik. Saya turut menekankan bagaimana hubungan baik yang perlu dibina antara penyelia dan pelajar. Selain itu, kaedah pencarian bahan menggunakan enjin pencari, kepentingan membuat "back-up" juga ditekankan serta alat-alat bantu yang perlu diketahui oleh pelajar.

Modul 2 pula menekankan berkaitan aspek penulisan, dan bersesuaian dengan pelajar PSM 1 mereka didedahkan bagaimana menulis proposal penyelidikan dan kertas seminar dengan baik. Penekanan diberikan misalnya, bagaimana ciri-ciri tajuk yang baik, penulisan objektif yang betul, penggunaan "measurable verb action" yang tepat, bagaimana olahan kaedah penyelidikan perlu dikemukakan dan hinggalah penulisan senarai rujukan.


Akhirnya, sesi disudahkan dengan kaedah berkesan menyediakan slaid pembentangan hasil kertas seminar yang dibuat. Aspek penyediaan slaid dan kaedah penyampaian yang berkesan adalah nadi kepada penyampaian pembentangan yang hebat dalam tempoh yang singkat.


Dengan jumlah peserta seramai 201 orang, ini bukan satu tugas mudah bagi saya. Masih terdapat banyak ruang yang saya perlu perbaiki. Ada masanya, saya lihat pelajar agak tepu dan mungkin saya terlalu serius dan kurang unsur lelucon untuk menarik minat pelajar. Saya perlu lebih variasi dalam penyampaian! Walau apapun, saya harapkan perkongsian ini dapat membuka lembaran baru sebagai usaha membantu pelajar.

1 comment:

Unknown said...

bestnya kalau Dr jd penyelia saya