My Calendar

Sunday, 27 December 2009

Cermin diri

Tahun baru Hijriah 1431 baru sahaja memahatkan paksinya. Pastinya, ramai yang menanam pelbagai azam sempena bermula pekiraan tahun baru Hijriah. Bagaimana dengan diri ini sendiri? Apakah azam yang disematkan? Apakah sifat-sifat mazmumah yang ingin dicantas satu demi satu? Diri ini terlalu kerdil dengan seribu satu macam senarai kelemahan. Diharapkan sinar Hijriah kali ini memberikan satu dorongan untuk menjadikan diri ini hamba yang sebenar-benar hamba.


Gambar ini diabadikan ketika berada di Sydney. Nyata bukan sebarang gambar kerana muncul dalam fikiran yang kerdil ini akan besarnya cerminan yang diberikan. Timbul persoalan, dalam hidup kita sebenarnya setiap inci pelakuan dan apa sahaja yang kita lakukan adalah dalam pengetahuan Yang Maha Mengetahui. Semuanya direkodkan tanpa sebarang kehilangan!

Justeru, masakan kita masih lagi layak melihat diri kita sebagai insan-insan hebat yang seringkali angkuh dan memandang rendah pada insan-insan lain? Sedangkan apa yang bakal berlaku sedetik di hadapan pun tidak mampu kita jangkau dengan akal manusiawi kita?

Bertepatan dengan apa yang terkandung dalam Surah Al-Hadid ayat 20:

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaaan dan anak keturunan, seperti hujan dan tanam-tanamannya yang mengkagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu melihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. [20]



No comments: