My Calendar

Saturday 10 April 2010

Universiti ternama dunia!

[Keyakinan diri]
Dua hari lepas, baru je selesai satu persidangan yang berlangsung di UCL. Dengan yuran penyertaan yang boleh dikategorikan sebagai murah dan lokasinya juga di London, maka peluang sebaik ini tak dilepaskan.

Aku hadir dengan dua kertas kerja, satu hasil kajian peringkat PhD dan satu lagi kertas bersama pelajar PSM sebelum ini. Dalam kes kertas bersama pelajar PSM, aku hanya membantunya untuk dirinya lebih faham dan menjiwai dunia akademik. Moga-moga usaha ini merupakan satu batu loncatan kepadanya utk terus mengorak langkah menjiwai dunia ahli akademik.

Banyak pengalaman yang aku timba dalam dua hari persidangan ini. Yang paling menarik ialah bagaimana aku melihat sikap dan kualiti yang ditunjukkan oleh mereka yang mengikuti pengajian di universiti-universiti terkemuka dunia [misalnya IC, UCL, UoL] yang mana universiti mereka berada pada senarai 5 terbaik dunia! Mereka mempunyai keyakinan diri yang sangat baik!

Aku bukan dalam kategori pelajar cemerlang. Dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi semuanya berada pada tahap sederhana. Selepas UPSR misalnya, aku melihat bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan juga SMKA dan kesannya terhadap pembentukan keyakinan diri. Selepas PMR juga sama rentaknya, bagaimana rakan-rakan yang berjaya ke SBP dan MRSM. Selepas SPM pun tidak kurang bezanya, malah lebih jelas jurang keyakinan diri tambahan pula pada masa itu, aku memilih ke ITTHO [barangkali tidak cukup terkenal!].

Kini dalam pengajian PhD, aku lebih faham dan melihat dengan lebih dekat. Kesan dan pengaruh di mana kita belajar terhadap keyakinan diri. Tapi tak mengapa, dalam kitaran proses pembelajaran sebagai pelajar 'kebanyakan' yang aku lalui, aku tetap aku menyusur langkah. Setiap apa yang datang akan aku cuba lakukan dengan baik.


[Kertas kerja PhD]
Dengan izin Allah, dalam UK-MEC 2010 ini kertas kerja aku dipilih untuk 'Best Paper Award' yang mana aku langsung tidak terfikir. Ya lah, nak dibandingkan dengan calon-calon PhD dari universiti termuka dunia yang lain.


[Kelemahan pembentangan]
Tetapi, dalam aspek pembentangan aku masih banyak tercicir. Aku kena kukuhkan penguasaan bahasa Inggeris supaya boleh menyampai dan menerangkan dapatkan kajian dengan lebih fasih dan yakin. Aku akui, aku rasa sangat rendah diri berdiri di hadapan mereka dan menyebabkan aku sedikit gugup. Aku perlu perbaiki.

Tak mengapa, aku sangat percaya, selagi kita ingin belajar dan memperbaiki diri, selagi itu Allah akan tunjukkan ruang dan peluangnya. Moga aku akan senantiasa kuat dan konsisten dalam kayuhan mengejar ilmu ini.

Nota: Ada seorang kawan juga belajar di ENSTA - salah satu universiti tersohor. Moga kawan akan dapat timba seberapa banyak ilmu dan kelak dapat berkongsi apabila pulang.

3 comments:

Mohsen Amdan said...

Syabas ya sohibi..
aku percaya dengan keazaman yg ko miliki..ko pasti akan menemui kejayaan

Unknown said...

Tahniah

Unknown said...

terbaikkkk..wahai guruku..