My Calendar

Thursday, 14 June 2012

"Saya nak tolong orang"

Baru-baru ini, saya ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai ahli akademik, walhal banyak juga beberapa peluang di luar sana yang menjanjikan pulangan yang lebih mengujakan. Secara spontan lantas saya menjawab,

"Saya nak tolong orang"

Benar, pada mula memasuki kelas aliran sains dan kerana mata pelajaran Biologi menjadi kesukaan saya, sebelum berpindah ke sekolah lain - saya mengimpikan kerjaya sebagai pakar mata, kiranya seperti Prof Dr Muhaya pada hari ini. Mengapa? Kerana saya benar-benar ingin tolong insan lain dan pada masa itu saya kira menjadi seorang doktorlah paling mudah untuk membantu insan di sekeliling dan menjadi jambatan kasih sayang.

Kenangan di Sydney ketika persidangan FPT 2009

Hari demi hari, pelbagai jalan dilalui. Yang pasti, kita hanya melihat dan mampu merancang atas kapasiti kerdil kita sebagai manusia. Saya tidak langsung meneruskan dalam aliran sains tulen dan pastinya tidak berada dalam bidang kedoktoran.

Hari ini, saya bergelumang dengan dunia pendidikan tinggi - pelbagai rencah, rasa dan aroma dilalui. Jika benar-benar saya ingin mengotakan "saya ingin tolong orang", saya perlu selalu menyemak persoalan-persoalan berikut sebagai key performance index (KPI), antaranya ialah:
  • Berapa ramai pelajar PhD, Sarjana dan Sarjana Muda yang telah kita selia dan menerapkan hasil kerja penyelidikan yang tulen dan tinggi mutunya?

  • Berapa ramai pelajar dengan pencapaian lemah, misalnya CPA 2.10 ke bawah yang telah saya berjaya pimpin menjadikan CPAnya 3.10?

  • Berapa ramai pula yang berjaya saya majukan daripada CPA 3.00 kepada 4.00?

  • Berapa ramai yang lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya berjaya saya lakukan transformasi menjadi mereka yang yakin pada kebolehan diri?

  • Berapa ramai pelajar yang dapat dipimpin menjadi insan yang kenal akal budi, meletakkan persoalan adab di hirarki tertinggi?

  • Berapa ramai pelajar yang dapat dididik memahami konsep "sampai maksud" dan mengamali bahawa kehidupan kita bukan atas taruhan RM semata-mata? 

Benar, saya kira laluan untuk "saya nak tolong orang" jauh lebih subjektif berbanding seorang pakar mata yang saya impikan satu ketika dulu. Ada tikanya dalam laluan ini saya tersadung kaki, tersepak batu hatta tertusuk duri di kaki, atau mungkin jua ditertawakan! Jika perlu berundur setapak, tak mengapa itu jauh lebih baik dan semak kelemahan diri.

Semoga niat yang baik ini difahami dan sisa-sisa kehidupan yang ada dapat memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja...kerana kita tidak pasti bila kita akan dijemputNya.

Wednesday, 13 June 2012

Kualiti Kerja & Adab Berguru

Saya terharu, apabila dihubungi menerusi emel oleh beberapa khalayak pembaca berkaitan hal ehwal PhD. Siapalah saya sebenarnya untuk berbicara lanjut berkaitan perkara besar ini, terlalu kerdil.

Apapun, saya cuba memberikan penasihatan terbaik agar khalayak pembaca tersebut menjadi lebih bersemangat atau setidak-tidaknya mempunyai idea tambahan untuk lebih berkeyakinan melayari perjalanan PhD masing-masing.

Suasana awal pagi di Felda LBJ - Kawasan orang kaya

Kini, saya juga diberikan ruang dan peluang menyelia dalam pelbagai peringkat pengajian - sarjana muda, sarjana dan juga doktor falsafah. Nyata, seni menyelia ini tidak mudah seperti yang disangkakan.

Seringkali saya terperangkap dalam dua (2) soal utama, iaitu kualiti dan adab berguru. Ini adalah antara intipati utama sepanjang berkelana dalam terowong gelap PhD bersama Dr A.

Saya masih jelas terbayang dan segar dalam ingatan, antaranya:
  • bagaimana kesediaan penyelia mengambil saya sebagai pelajar pada saat-saat saya berkira-kira mengemas beg untuk pulang sahaja ke Malaysia;
  • bagaimana sukarnya mengenali dan mendalami baris demi baris apabila terperangkap dalam menghasilkan dokumen menggunakan Latex;
  • bagaimana duduk di barisan belakang kuliah tahun tiga undergraduate, kerana perlu menghadiri satu subjek yang tidak saya ikuti sebelum ini; dan
  • bagaimana saban petang hadir kuliah English Grammar dan Transferable Skills kerana kertas teknikal saya seringkali merah, merah dan merah.

Bukanlah, niat saya menyenaraikan perkara-perkara ini untuk menggambarkan betapa unggulnya perjalanan PhD saya. Namun, ini adalah antara lipatan kenangan yang saya pelajari demi memenuhi kualiti kerja yang ditetapkan oleh penyelia saya dan memahami tanggungjawab saya menunaikan hak penyelia.

Tuesday, 12 June 2012

Nilai Sesuap Rezeki

Diberikan peluang untuk timba ilmu lagi, menerusi program kepimpinan pensyarah muda. Berada dalam kalangan insan-insan yang berjaya membolehkan saya cuba menimba seberapa banyak input rahsia-rahsia kejayaan mereka.

Jauh berjalan, luas pandangan. Indah pemandangan di Bukit Tinggi, Janda Baik, Pahang

Beberapa input berguna untuk saya jadikan iktibar:

  1. Kerjaya kita hari ini, adalah kita sendiri yang memohon. Justeru, mengapa sambil lewa dengan nikmat yang kita perolehi? Sedangkan di luar sana ramai insan lain yang benar-benar inginkannya?

  2. Bagaimana kita mengurus masa? Kalau sebelum mendapat kerjaya ini, dijanji temuduga jam 10 pagi, jam 9 pagi sudah kita terpacul menunggu giliran. Justeru, selepas bekerja mengapa kita tidak tahu hormatkan masa orang lain? Janji mesyuarat jam 9 pagi, jam 9.30 pagi baru kita muncul.

  3. Hasil kerja yang sambil lewa. Mengapa ini terjadi? Jika sebelum dapat kerja, 1001 macam janji kita tabur dan semuanya kita katakan boleh, demi memberikan imej baik kepada bakal majikan. Selepas dapat, mengapa kita memberikan 10,0001 dalih itu dan ini tidak boleh?

Setiap hari kita melangkah, mari sama-sama kita tanya - adakah sesuap rezeki yang kita perolehi ini benar-benar BERSIH dan layak untuk dikongsi dengan insan-insan tersayang?

Monday, 11 June 2012

Insan Hebat

Saya diberikan ruang olehNya menghadiri satu majlis ilmu yang dapat menyemarakkan saya untuk menjadi ahli akademik yang unggu.

Beberapa nama-nama unggul dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pengkomersilan dapat saya saksikan mereka menyampaikan hujah masing-masing. Antara yang begitu dengan dengan saya ialah Prof Asma dari USM.

Saya sangat kagum kesungguhan dan seni orator yang beliau pamerkan. Beliau bukan sahaja hebat dalam aspek kandungan teknikalnya, malah karisma beliau jelas sekali terpancar. Tidak kurang juga beberapa pakar lain yang membuat pembentangan misalnya Dr K dari Silterra, Prof Wan Azelee, Prof Saringan dll.

Dr K - Menyampaikan hujah berkaitan transistor
Rumusan paling mudah kepada mereka semua ialah, wang bukanlah segala-galanya. Mereka bekerja atas dasar minat yang tinggi dalam bidang masing-masing dan ingin memberikan sumbangan ketika hayat dikandung badan.

Bagaimana dengan saya? Apakah yang saya ingin sumbangkan ketika saya masih menghirup udara tanpa pernah saya bayar? Apakah saya ingin dikenang misalnya sebagai individu yang memperkenalkan:

"Rapid diagnostics of infectious diseases especially typhoid and paratyphoid fever. Area of preference is to develop diagnostics for low resource settings"?

Inilah satu contoh terbaik, bagaimana memberikan sumbangan kepada agama atas kapasiti yang ada. Ibadah jangan sesekali dinilai dengan definisi sempit yang lagi menyempitkan. Duit dan keteguhan ekonomi itu penting, tetapi bukanlah itu yang menjadi hambatan kegilaan. Hanya kepadaNya jua lah saya memohon petunjuk dan keampunan.


Sejambak Bunga

Sejambak bunga ini digubah oleh manusia. Fizikalnya, kepelbagaian dalam jambangan bunga ini tampak serasi dengan pelbagai warna yang sedap dipandang. Aroma kepelbagaian ini juga selesa dikesan oleh rongga manusia. 

Ini juga ceritera dalam kehidupan kita sehari-harian. Ada pelbagai warna, rasa dan bau yang masing-masing membawa peranan tersendiri. Jika dikatakan, yang merah dan wangi itu bagus, bagaimana pula dengan dedaun yang hanya berwarna hijau dan dipadan menjalar?

Hikmahnya, sayangi diri kita sendiri dan sentiasalah bersyukur atas kurniaanNya. Jangan sesekali kita merungut atas kekurangan yang diberikanNya kepada kita. Semakin banyak kita merungut, tiada apapun yang kita perolehi. Sebaliknya, belajarlah mencintai diri sendiri.

Friday, 1 June 2012

Facebook

Kegilaan masyarakat hari ini menerusi media sosial semakin menjadi-jadi. Pastinya, mereka yang menjadi pengasas kepada beberapa media sosial yang menjadi makanan manusia akhir zaman ini bersorak sorai penuh kegembiraan kerana "projek keusahawanan" mereka benar-benar menjadi!

Apa tidaknya, daripada kanak-kanak kecil, golongan remaja malah yang sudah berusia juga tidak lekang dengan Facebook. Siapa lagi yang mendapat faedahnya? Lihat sahaja, model telefon pintar juga bersilih ganti menembusi pasaran. Duit sahaja yang tidak mampu dipetik daripada pokoknya untuk menukar telefon setiap tiga (3) bulan sekali.

Jika dahulu, kita mendebatkan "Internet membawa keburukan" tetapi kini adakah kita mampu mendepani cabaran Facebook sebagai contoh? Manusia jadi hilang punca dan seolah-olah Facebook itulah segalanya-galanya. Semua perkara ingin dikemaskini sebagai status, semua masalah ingin diadu menerusi Facebook, marahkan seseorang juga ingin ditulis di situ.

Soalnya, di mana nilai akal budi dan adab kesopanan yang dilatih dalam diri sejak kita masih seorang budak hingusan? Atau, kita sebenarnya sudah menambah data kuantitatif sebagai salah seorang Facebook Attention Disorder?

KepadaNya jualah saya pinta untuk memberikan saya bimbingan dan pertolongan, walau dalam perkara berkaitan dengan sosial media ini.

Angka dan Kehidupan

Setiap orang pasti ada sentimen dalam kehidupan masing-masing. Apabila umur meningkat sempena ulangtahun kelahiran, tidak kurang juga ramai yang meraikan dengan pelbagai cara, hinggakan ada yang kadangkala di luar jangkaan pemikiran.

Apabila usia meningkat, ternyata apa yang merisaukan ialah masih adakah masa untuk mengetuk pintu taubat dan menjadi hamba yang sebenar-benar hamba kepadaNya.
 


Dunia kehidupan hari ini semakin menggila dengan norma kemewahan, pangkat, jenama yang menjadi ukuran. Ada yang kelihatan sangat mengejar pangkat - dengan harapan apabila ada gelaran dan pangkat akan dihormati. Ada juga yang mengejar jenama untuk dilihat sebagai insan yang kontemporari dan mendahului!

Apa agaknya yang saya sendiri inginkan dalam hidup yang sebenarnya sangat sementara ini? Saya ingin ingatkan diri ini dengan sepuluh pesanan yang MESTI saya baca hari-hari.

1. Tidak rakus dengan dunia
2. Sibuk beribadat
3. Kurang bercakap, melainkan perlu sahaja
4. Memelihara solat lima (5) waktu
5. Bersahabat dengan mereka yang mendidik
6. Rendah diri
7. Menjauhi perkara yang haram
8. Pemurah dan baik hati
9. Kasih sayang sesama makhluk
10. Berguna kepada masyarakat


Soalan yang mudah, adakah dalam baki kredit umur yang diberikannya, sekurang-kurangan sepuluh (10) perkara ini mampu untuk saya laksanakan?